Wednesday, 24 August 2011

kanak2 rentung sehari sebelum beli baju raya



GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan enam buah rumah di Kampung Sungai Nibong Kechil, Bayan Lepas dekat sini pagi tadi.
Mayat Zulaika Batriesya Zalfian, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Bayan Baru itu ditemui rentung di kawasan kejadian yang berlaku kira-kira 6 pagi.
Semua ahli keluarganya dikatakan sempat menyelamatkan diri dari rumah mereka tetapi anak ketiga daripada enam adik beradik itu dikatakan berlari semula ke kawasan kebakaran.
“Saya sendiri tak tau kenapa Ika lari semula masuk ke tempat kejadian. Saya sedih kerana Ika sebelum ini bersemangat untuk menyambut hari raya,” kata nenek mangsa, Rosnah Ibrahim, 56, perihal cucunya itu.
Kanak-kanak tersebut dikatakan menghidap penyakit sawan tarik sejak dilahirkan.
“Sepatutnya esok kami bawa Ika dan adik beradiknya beli baju raya, tapi tak sangka ini pula yang jadi,” kata Rosnah.
Nenek saudara mangsa, Rosnani Ismail, 51, pula berkata sebelum kejadian itu, kanak-kanak tersebut lebih kerap diserang sawan.
“Saya diberitahu maknya, Ika pernah cerita yang dia nak pergi jauh-jauh,” katanya.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Betong, Balik Pulau, kira-kira pukul 3 petang tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 7.30 pagi.
“Saya difahamkan bahawa pihak bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kampung berkenaan kerana jalan yang sempit dan kejadian itu telah memusnahkan enam buah rumah,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More